Sunday, April 18, 2010

SEKAPUR SIREH,SEULAS PINANG


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Slam Sejahtera,

Sistem pendidikan Negara memainkan peranan penting dalam membantu melahirkan generasi pelajar berilmu,berwawasan dan berdaya saing.Setiap pelajar sememangnya mempunyai potensi sebagai modal insan yang amat berharga kepada negara.Namun,mereka perlu dilengkapi dengan pelbagai ilmu pengetahuan dan kemahiran bagi memastikan mereka sentiasa bersedia untuk bersaing di dalam dunia tanpa sempadan masa kini.Selaras dengan hasrat tersebut,setiap guru yang diamanahkan untuk mendidik perlu memainkan peranan dengan berkesan dalam membantu menyerlahkan potensi diri pelajar secara optimum.Untuk itu,guru-guru perlu sentiasa bersedia serta melengkapkan diri dengan perkembangan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang tinggi selaras dengan perkembangan dan cabaran hebat arus globalisasi.

Sekolah sebagai institusi pendidikan perlu mampu menterjemah aspirisi negara dalam usaha melonjakkan bidang pendidikan bertaraf dunia serta berperanan sebagai pemangkin dalam usaha menyempurnakan aspirisi tersebut.Sebarang usaha untuk menambah nilai kepada sekolah sebagai sebuah institusi yang mampu melahirkan masyarakat yang kukuh dengan nilai,moral dan etika,serta ditunjangi oleh budi pekerti yang luhur memerlukan komitmen bersepadu semua pihak.
 
Dalam usaha mencapai matlamat untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju mengikut acuan sendiri pada era ini,pembentukan negara bangsa menjadi semakin mencabar,terutama memperkukuhkan minda,budaya,dan nilai yang menjadi pegangan rakyat.Sehubungan itu,sehingga kini kerajaan terus meletakkan kepentingan pendidikan sebagai agenda berterusan negara.Sebagai agensi yang bertanggungjawab secara langsung terhadap bidang pendidikan,Kementerian Pelajaran sentiasa berusaha memartabatkan bidang ini dan telah melaksanakan pelbagai strategi serta penambahbaikan bagi memastikan bidang pendidikan sentiasa relevan.
 
Akhir kata,tahniah dan syabas kepada semua pihak yang telah berusaha untuk menyempurnakan laman blog sekolah ini.Semoga usaha murni sebegini dapat diteruskan lagi dengan jayanya.
 
“SATU MALAYSIA,RAKYAT DIDAHULUKAN,PRESTASI DIUTAMAKAN”

 
TAN SRI MUHYIDDIN HAJI MOHD YASSIN
(Menteri Pelajaran Malaysia)